Akhbar : Utusan Online (Utusanbiz) | Tarikh : 21/07/2017
PASIR GUDANG 20 Julai – Seramai 600 pelatih mendapat manfaat daripada Akademi JTM-Samsung Tech di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Lumpur dan Sabah sejak tiga tahun lalu.
Pelatih Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dari ILP Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu itu dilatih 43 tenaga pengajar ILP berkenaan melalui program Training of Trainers.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, lebih ramai tenaga mahir akan dilahirkan terutama dalam bidang membaiki dan penyelenggaraan peralatan teknologi keluaran Samsung apabila akademi itu di ILP Pasir Gudang memulakan sesinya.
Menurutnya, ILP Pasir Gudang merupakan yang ketiga ditubuhkan selepas ILP Kuala Lumpur dan ILP Kota Kinabalu pada 2014 dan 2015 yang menjalankan kerjasama strategik dengan Samsung.
"Kerajaan menyambut baik kerjasama strategik ini di mana pihak industri sendiri tampil untuk melatih pengajar dan pelajar institut dengan kemahiran teknologi terkini.
“Menerusi akademi ini, pelajar ILP Pasir Gudang akan diberi latihan mengenai teknologi terkini meliputi modul terbaharu iaitu latihan penyelenggaraan mesin basuh, penyedut vakum dan modul latihan sedia ada berkaitan televisyen dan telefon pintar Samsung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dan Samsung Malaysia Electronics Sdn. Bhd. berkenaan penubuhan akademi itu di ILP Pasir Gudang di sini hari ini.
MoU tersebut yang disaksikan Richard Riot ditandatangani Ketua Pengarah JTM, Dr. Mary Wong Lai Lin dengan Presiden Samsung Malaysia, Lee Sang Hoon.
Majlis berkenaan turut disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Adenan Ab. Rahman; Pengarah Perhubungan Korporat Samsung Malaysia, Datuk Roh Jay Yeol dan Pengarah ILP Pasir Gudang, Sarman Rawan.
Richard berkata, kerajaan menggalakkan mana-mana syarikat gergasi atau korporat dalam rangka usahasama seperti itu untuk membangunkan tenaga manusia berkualiti dan berkemahiran.
Sumber : Portal Rasmi KSM