Akhbar : Berita Harian (Nasional) | Tarikh : 05/09/2016
KAJANG: Kira-kira 1,000 pengunjung hadir di Mini Karnival Ibu Tunggal 2016: Memperkasa Ekonomi Dan Kesejahteraan Sosial yang berlangsung di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), di sini, hari ini.
Ia yang diadakan buat julung kalinya itu turut disertai pelbagai jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) termasuk Jabatan Tenaga Manusia, Jabatan Pembangunan Kemahiran serta Perbadanan Sumber Manusia Berhad.
Malah, agensi luar KSM pula disertai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bantuan Guaman serta Majlis Amanah Rakyat.
Majlis dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa), Datuk Mohd Sahar Darusaman, yang mewakili Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Sri Ismail Abd Muttalib.
Mini karnival itu diadakan selaras dengan pelan tindakan pemerkasaan ibu tunggal 2015-2020 yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
"KSM dilantik untuk menyediakan tawaran kerja dan latihan kemahiran yang bersesuaian kepada golongan ibu tunggal.
"Ini kerana statistik banci penduduk dan perumahan 2010 mendapati bilangan penduduk wanita di negara ini seramai 13.9 juta dengan 235,240 daripadanya adalah ibu tunggal," kata Ismail dalam teks ucapan yang dibacakan Mohd Sahar.
Katanya, golongan ibu tunggal juga adalah sebagai penyumbang dan pemangkin tenaga kerja dalam meningkatkan pembangunan ekonomi negara dalam sektor pekerjaan.
Sementara itu, pengunjung, Siti Ainul Mariam Baharuddin, 37, berkata mini karnival yang diadakan itu sangat memberi manfaat kepada masyarakat terutamanya golongan wanita yang berstatus ibu tunggal.
"Pelbagai aktiviti yang dijalankan termasuk pameran dan kaunter penerangan, temuduga kerjaya terbuka serta taklimat daripada penceramah jemputan," Katanya.