Malay version only
Press : Bernama | Date : 17 September 2013
PUTRAJAYA, 17 Sept (Bernama) -- Buat julung kalinya sembilan kementerian akan bekerjasama menganjurkan Karnival dan Ekspo Kemahiran Kebangsaan minggu depan bertujuan untuk memperkenal pelbagai bidang kemahiran kepada masyarakat. Karnival itu akan berlangsung selama empat hari bermula 26 Sept di Taman Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dan diterajui Kementerian Sumber Manusia bersama lapan kementerian yang berkaitan dengan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TEVT). Antara aktiviti yang dijangka menjadi tarikan pengunjung pada karnival itu ialah pertandingan robot peringkat sekolah, ceramah kerjaya, pameran automotif, pertunjukan superbike, servis motosikal RM1, pertandingan kemahiran, pendaftaran pelajar di Institut Kemahiran Awam secara dalam talian dan temu duga terbuka oleh 33 syarikat berkaitan.
Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia Datuk Dr Pang Chau Leong berkata dijangka 60,000 pengunjung akan memeriahkan karnival itu yang dijadual dirasmikan Menteri Sumber Manusia Datuk Richard Riot. Beliau berharap karnival itu dapat membuka mata dan minda masyarakat mengenai bidang kemahiran. "Banyak ibu bapa yang menganggap melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran tidak boleh menjamin masa depan, oleh itu kini tiba masanya bidang kemahiran tidak boleh dipandang sepi,"katanya kepada Bernama dalam temu bual di sini.
Oleh itu karnival berkenaan diharap memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat secara lebih dekat bidang kemahiran sedia ada selain mempromosi produk dan kursus kemahiran yang ditawarkan. Dengan adanya karnival itu dapat menggalakkan kerjasama strategik antara kementerian, agensi dan industri berkaitan agar bidang kemahiran dapat diselaraskan sesuai dengan kehendak semasa industri dan keperluan tenaga kerja akan datang, katanya. Dr Pang berkata ikon yang berjaya dalam bidang kemahiran juga akan dijemput hadir untuk berkongsi kepakaran mereka seperti jurugambar tersohor Saiful Nang, jaguh sukan permotoran Tengku Djan Ley serta pelakon dan penerbit Rosyam Nor. Rosyam akan mengadakan uji bakat dan seminar, Saiful akan mengadili pertandingan fotografi manakala Tengku Djan Ley akan menunjukkan kemahirannya dalam dunia drift.Pertandingan Kemhiran Malaysia (PKM) peringkat akhir juga akan diadakan disertai 205 belia dalam 22 bidang yang dipertandingkan seperti pemasangan elektrik, teknologi automotif, Teknologi Maklumat (IT), rangkaian kabel, pentadbiran sistem rangkaian, teknologi reka bentuk grafik, reka bentuk web dan kimpalan.
Dr Pang berkata anugerah 'Tangan Emas Perdana Menteri', menanti pemenang utama pertandingan itu selain berpeluang menyertai Asean Skill Competition 2014 di Vietnam dan World Skill Competition di Sao Paolo, Brazil pada tahun 2015.Selain itu, pertandingan MySkills peringkat akhir yang melibatkan 57 tenaga pengajar juga akan diadakan sempena karnival itu dengan para peserta akan menunjukkan bakat melalui satu daripada tujuh bidang iaitu elektronik, automobil, teknologi fesyen, reka bentuk kejuruteraan mekanikal serta pentadbiran sistem rangkaian IT dan grafik.
--Sumber BERNAMA
Copyright JTM 2015. Disclaimer : Manpower Department (JTM) is not responsible for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website. Best Viewed is using Firefox , Microsoft Edge , IE 11 and Google Chrome with minimal resolution 1024 X 768 pixel.
Loading...