Malay version only
Akhbar : Bernama | Tarikh : 7 Mac 2013
SHAH ALAM, 7 Mac (Bernama) -- Penuntut Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILTJM) digesa sentiasa memajukan diri dalam bidang kreatif supaya mudah diterima di pasaran kerja. Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia Datuk Romli Hassan berkata perkara itu penting kerana syarikat multinasional pada masa kini memerlukan tenaga kerja yang mempunyai daya cipta yang tinggi. "Ini kerana syarikat-syarikat multinasional akan sentiasa mencari idea baru untuk memenuhi permintaan pelanggan di samping mencari keuntungan," katanya ketika berucap pada majlis penutup Pertandingan Metrologi di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) hari ini. Beliau berkata selain itu, pendidikan dan latihan kemahiran juga merupakan gabungan mekanisme yang berkesan dalam melahirkan tenaga kerja cemerlang. Katanya mekanisme itu memberi kelebihan dalam membentuk tenaga kerja yang lebih berinovasi selain mempunyai kemahiran yang tinggi. Ini juga selari dengan keadaan negara yang memerlukan lebih banyak tenaga mahir untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara yang sedia ada, katanya. "Ini yang kita ketengahkan kepada setiap penuntut di pusat latihan ini... yang turut mengaplikasi pengkongsian pengetahuan dan kemahiran teknikal. "Langkah ini bukan sahaja memaksimumkan kelebihan penuntut itu tetapi juga mampu memberi nilai tambah dalam membentuk fasa pembangunan negara," katanya. Sumber : BERNAMA