Malay version only
Akhbar : Utusan Malaysia | Tarikh : 1 Mac 2013
REMBAU 28 Feb. - Setiausaha Akhbar Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dan pemandunya maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh belakang lori membawa muatan plastik di Kilometer 232, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa, B. Sivam, 35, maut di tempat kejadian manakala pemandunya, Hazrin Hasan, 35, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka.
Difahamkan, kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Alor Gajah, Melaka untuk menghadiri satu program yang turut dihadiri oleh menteri berkenaan.
Menurut jurucakap polis, ketika kejadian kenderaan jenis Nissan X-Trail yang dinaiki mereka berdua terbabas dan bergesel dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi sebelum merempuh belakang sebuah lori yang membawa muatan plastik.
"Rempuhan kuat menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit dalam kenderaan sebelum dikeluarkan oleh anggota bomba yang tiba tidak lama selepas kejadian.
"Sivam yang duduk di bahagian hadapan maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, manakala Hazrin pula meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Melaka," katanya di sini hari ini.
Jurucakap berkenaan memberitahu, pemandu lori dan kereta Myvi yang turut terlibat dalam kemalangan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk dibedah siasat.
Dalam pada itu, Subramaniam ketika ditemui di Hospital Tampin berkata, Sivam sudah tiga tahun berkhidmat dengan beliau sebagai Setiausaha Akhbar dan hubungan mereka sangat rapat.
"Saya amat sedih kerana kedua-dua mereka merupakan pekerja yang setia dan bertanggungjawab dengan tugas selain banyak berjasa kepada kepada kerajaan.
"Saya bukan sahaja kehilangan pekerja yang baik tetapi seorang sahabat kerana mendiang Sivam amat rapat dengan saya dan hubungan kami seperti saudara," katanya sambil memberitahu beliau menaiki kenderaan berlainan dari arah Segamat, Johor menuju ke majlis di Alor Gajah tersebut.
Subramaniam berkata, adik ipar Sivam iaitu M. Karnan, 35, ada memaklumkan yang mendiang sebelum ini pernah menyuarakan hasrat membawa ibu mentuanya yang tinggal di Jasin, Melaka tinggal bersama keluarganya di Bandar Baru Kinrara, Selangor.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Supritendan Mizan Md. Dom mengesahkan kemalangan tersebut dan sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian.
Copyright JTM 2015. Disclaimer : Manpower Department (JTM) is not responsible for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website. Best Viewed is using Firefox , Microsoft Edge , IE 11 and Google Chrome with minimal resolution 1024 X 768 pixel.
Loading...