Malay version only
Akhbar : Metro - Setempat | Tarikh : 21 Januari 2013
Kulim: “Saya perasan muka arwah ceria kerana dia tidak sabar untuk pulang ke kampung memandangkan kursus ini akan berakhir seminggu lagi,” kata Mohamad Azmir Mohamad Yusof, 29, rakan sebilik Abdul Hafiz Abdul Rozak, 23, yang ditemui lemas di kawasan rekreasi Sungai Sedim, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, mangsa, pelatih Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Institut Latihan Sultan Ahmad Shah (ILSAS) Bangi, Selangor kini mengikuti kursus latihan Program Pendidikan Ketukangan dan kemahiran (PPKK) di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas, Pulau Pinang selama tiga bulan.
Difahamkan, mangsa yang berasal dari Kuala Kemaman, Terengganu dipercayai lemas ketika mengikuti modul aktiviti lasak dan riadah.
Mohamad Azmir berkata, dia bersama 132 pelatih lain pergi ke Sungai Sedim menaiki tiga bas kira-kira jam 10 pagi semalam (kelmarin) bagi mengikuti modul aktiviti lasak dan riadah yang dikendalikan ILP Kepala Batas.
“Kami semua mandi beramai-ramai di dalam sungai berkenaan ketika dalam latihan, namun tidak mengetahui langsung Abdul Hafiz lemas di kawasan itu. “Ketika mandi kira-kira jam 3.30 petang, saya melihat arwah naik ke darat, namun saya tidak menghiraukannya kerana mungkin arwah naik untuk bersolat. “Namun saya tidak menyangka dia lemas dan kebanyakan kami fikir arwah hilang dan mungkin tersesat ketika bersiar-siar di kawasan itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21