Sumber : Harian Metro - Khamis, 11 Februari 2016
Jitra: Pelumba pasukan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Jitra Adri Zainudin membuktikan keunggulan dalam kategori kereta 1.6 Pro Street apabila muncul pemenang buat kali kedua berturut-turut Perlumbaan Jambori Drag Antarabangsa Jitra 2016, di sini, baru-baru ini.
Adri mencatat 10.5 saat untuk meninggalkan pencabarnya, pasukan J Garage dari Pulau Pinang.
Dia turut menduduki tempat kedua kategori kereta 1.8 Pro Street dalam perlumbaan drag sekali gus membawa pulang RM1,800 selaku juara dan naib juara.
Pemangku Pengarah ILP Jitra Mohd Raris Mohamed Yusuf berkata, perlumbaan kali ini mendapat sambutan memberangsangkan berbanding program sama tahun lalu.
Menurutnya, 142 kereta termasuk dari Thailand mengesahkan penyertaan dalam 14 kategori kereta dan 162 motosikal bergantung kepada kapasiti serta jenis enjin sama ada turbo atau biasa.
“Perlumbaan drag ini bertujuan mendedahkan pelajar ILP kepada pengurusan pertandingan dan menjadi medan kepada belia tempatan terutama pemilik motosikal untuk mengasah bakat dalam perlumbaan dan pengubahsuaian kenderaan.
“Di samping itu, bertukar idea berhubung teknologi baru dan inovasi dalam bidang automotif, ia juga akan mengukur tahap keupayaan enjin kenderaan memecut antara satu sama lain pada jarak 305 meter dengan catatan masa terpantas akan dikira pemenang,” katanya.