Akhbar : Utusan Malaysia - Timur | Tarikh : 4 Februari 2013
KUALA TERENGGANU 3 Feb. - Puluhan ribu orang daripada pelbagai lapisan dan peringkat usia menyahut seruan untuk bersama menyertai program My Beautiful Malaysia di lima lokasi terpilih di negeri ini hari ini.
Program tersebut berlangsung di tiga tempat di daerah ini iaitu di Dataran Batu Buruk, di Lagun Kuala Ibai dan Pantai Teluk Ketapang manakala di daerah Setiu dan Hulu Terengganu masing-masing diadakan di Pantai Rhu 10 dan Pengkalan Gawi dekat Tasik Kenyir.
Program yang turut diadakan serentak di seluruh negara dengan pelancarannya disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu mendapat sambutan hangat daripada para peserta dan orang ramai yang menyertai gotong-royong membersih dan mengindahkan kawasan tumpuan awam.
Majlis perasmian program peringkat di negeri ini disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di Dataran Batu Buruk di sini yang disertai kira-kira 10,000 orang.
Para peserta terdiri daripada kakitangan jabatan dan agensi kerajaan negeri dan Pusat, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT), pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan kakitangan hotel sekitar bandar raya ini.
Sejurus selesai majlis perasmian program itu, Menteri Besar kemudian bersama kira-kira 10,000 peserta menyertai acara Senam 1Malaysia yang turut diserikan dengan nyanyian artis tempatan.
Acara Senam 1Malaysia itu turut dimeriahkan dengan penyertaan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa, Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Toh Chin Yaw.
Selain itu, orang ramai yang menjayakan program gotong-royong membersih kawasan Pantai Batu Buruk juga berpeluang mendengar ucapan Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung sebagai tanda pelancaran program itu.
Artikel dari : Utusan Melayu (M) Bhd