Akhbar :myMetro - Setempat | Tarikh : 21 November 2012
SEPANG: Pelajar yang mewakili negara dalam Pertandingan Kemahiran Asean 2012 (ASC) di Jakarta, Indonesia wajar menjadi contoh kepada generasi muda tempatan walaupun sekadar memenangi tiga pingat emas serta masing-masing empat pingat perak dan gangsa.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, penyertaan dan pencapaian mereka secara tidak langsung dapat membuka mata rakyat di negara ini supaya melihat bidang kemahiran teknikal dan vokasional sebagai satu bidang yang harus diberi keutamaan.
“Ini adalah kejayaan anak muda negara ini dan ia membuktikan bidang kemahiran teknikal dan vokasional bukan calang-calang bidang, sebaliknya dapat membantu membangunkan negara pada masa depan,” katanya ketika ditemui media sebaik tiba dari Jakarta bersama 44 peserta ASC di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.
Pingat emas dalam pertandingan selama lapan hari bermula 13 November lalu itu dimenangi pelajar pemasangan elektrik dari Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu, Nik Mohd Fakrul Razi Nik Ahmad Kamil; Amran Naim (kerja paip dan pemasangan, ILP Labuan) dan Chen Kim Leun (bidang masakan, Kolej Universiti Taylor).
Maznah berkata, walaupun gagal mencapai sasaran 10 emas, beliau berbangga dengan prestasi semua pelajar yang menyertai pertandingan itu kerana menunjukkan semangat juang tinggi. Justeru, katanya, sesetengah daripada mereka akan dipilih mewakili Malaysia ke Pertandingan Kemahiran Dunia yang dijadual berlangsung di Leipxig, Jerman Julai tahun depan.
“Kami akan melakukan ‘post mortem’ terhadap peserta pertandingan itu sebelum memilih mereka yang layak mewakili negara. “Tidak semestinya peserta yang memenangi pingat emas akan dipilih, namun prestasi peserta di ASC Jakarta sebagai kayu pengukur untuk membuat keputusan.
“Malah, kami juga akan meneliti sama ada menyertai semua bidang atau memilih bidang tertentu saja yang mempunyai kekuatan,” katanya.
Hakcipta Terpelihara JTM 2015 . Penafian : Jabatan Tenaga Manusia (JTM) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari portal ini. Paparan terbaik adalah dengan menggunakan Firefox , Microsoft Edge, IE 11 dan Google Chrome dengan resolusi paparan minima 1024 X 768 pixel.
Loading...